PETALING JAYA – Malas bangun angkat beg dan tidak mahu menukar sejadah antara alasan yang diberikan jemaah wanita sehingga ada saf solat jemaah yang lompong.
Menerusi perkongsian pempengaruh media sosial, Zamir Mohyedin, antara punca utama jemaah wanita meninggalkan lompong dalam saf adalah kerana sikap dan keengganan mereka sendiri semasa solat berjemaah.
“Nak duduk sekali dengan geng dia. Siap cop tempat. Kalau orang lain ambil tempat itu, dia kena tegur. Dah macam kedai makan.
“Malas nak bangun dan pindah sebab nanti kena angkut sejadah dan barang lain sekali. Selepas ini tak payah bawa sejadah. Tikar masjid itu bersih dan selesa.
“Ada kasta dalam saf. Yang tua (berusia) duduk saf depan sekali. Yang muda kalau pergi saf depan, kena tegur.
Malah, ada juga yang sengaja tidak mahu merapatkan saf kerana bagi mereka merapatkan sejadah sudah memadai.
“Ada juga yang nak duduk dekat tempat yang dia selesa. Nak menyandar, bawah kipas, dekat pintu keluar, bermacam-macam lagi ragam,” kata seorang lagi jemaah.
Walau bagaimanapun, alasan-alasan seperti ini sepatutnya tidak boleh diguna pakai kerana ia jelas melanggar hukum yang sebenar sebagaimana sabda Nabi SAW, luruskan saf-saf kamu, kerana sesungguhnya meluruskan saf itu merupakan sebahagian daripada kesempurnaan solat berjemaah
Terdahulu, tular di laman X ,keadaan saf jemaah perempuan yang lompong dan banyak ruang kosong diantara satu sama lain di sebuah masjid di ibu kota. – KOSMO! ONLINE.