KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga India didenda sebanyak RM6,000 selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar empat buah kenderaan lain di tempat parkir sebuah apartmen sekitar Setapak, di sini, Selasa lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, video berkaitan kejadian telah dimuat naik di media sosial dan pihaknya juga berjaya mengesan lelaki terbabit.
Katanya, hasil siasatan mendapati suspek berusia 26 tahun itu memandu kereta Perodua Alza dari arah Jalan Taman Ibukota menghala ke arah Jalan Chong Hwa.
“Apabila tiba di tempat kejadian, suspek hilang kawalan dan terbabas melanggar empat lagi kenderaan di parkir kawasan perumahan Teratai Mewah Apartment, di sini.
“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan berlaku dalam kemalangan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemandu tersebut hari ini telah dituduh dibawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Suspek mengaku bersalah dan didenda sebanyak RM6000, sekiranya didapati gagal membayar denda akan dikenakan empat bulan hukuman penjara oleh Mahkamah Trafik, Jalan Duta Kuala Lumpur,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE.