PUTRAJAYA – Berita baik buat perantau yang terlepas tiket untuk pulang beraya, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menawarkan enam perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan ke utara bermula dari 4 hingga 15 April ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tiket ETS tambahan itu akan mula dijual pada pukul 5 petang ini dengan tawaran 1,260 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhan tiket tambahan adalah 15,120 tiket termasuk tren ekspres.
Beliau memberitahu, tren tambahan itu membabitkan dua laluan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral selain dua perkhidmatan laluan untuk KL Sentral-Butterworth-KL Sentral serta dua perkhidmatan ekspress laluan untuk KL Sentral-Ipoh-KL Sentral.
“Jumlah keseluruhan tiket ETS yang ditawarkan termasuk tren biasa dan tambahan bagi musim perayaan Aidilfitri ini adalah sebanyak 135,000 tiket,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Bagi penumpang yang akan pulang ke Pantai Timur, Loke berkata, KTMB turut menyediakan dua tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) pergi dan balik yang akan beroperasi dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya dengan tawaran 952 tiket.
Ttren khas ELA ini akan berhenti di 17 stesen iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.
Jelasnyai, tiket tambahan untuk ETS dan perkhidmatan khas ELA akan mula dijual hari ini bermula pukul 5 petang menerusi aplikasi KTMB Mobile (KITS) dan di kiosk tiket yang tersedia di semua stesen-stesen utama KTMB.
Dalam perkembangan sama, Loke berkata, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh bantuan subsidi penerbangan dari tiga hari kepada empat hari sebelum sambutan Aidilfitri iaitu bermula 6 hingga 9 April ini.
Loke berkata, lanjutan tempoh subsidi itu dibuat berdasarkan sambutan orang ramai dan individu yang membeli tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan atau sebaliknya. – KOSMO! ONLINE