KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang membuat tindakan undang-undang sendiri berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di KK Mart.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, orang ramai diminta bersabar dan memberi sepenuhnya kepercayaan siasatan yang dijalankan pihak berkuasa.
Tegas beliau, laporan polis perlu dibuat terlebih dahulu sekiranya menemui perkara yang menggugat ketenteraman awam.
“Kita (polis) siasat dan ambil tindakan undang-undang, biarlah kerja kuat kuasakan itu pada pihak berwajib, sekiranya ambil tindakan sendiri tidak akan redakan tapi memburukkan keadaan.
“Sebagai umat islam, di bulan barokah (Ramadan) ini kita menghayati apa sepatutnya, lebih baik konteks tidak puas hati kita zahirkan dalam bentuk laporan polis dan seperti sedia maklum apa sahaja laporan diterima akan disisat,” katanya pada sidang akhbar khas di Bukit Aman, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya membuat laporan polis sekiranya menemui baki stoking tersebut di mana-mana kedai dan tidak menularkannya.
“Biar pihak polis sahaja melaksanakan segala tugas siasatan mengikut lunas-lunas perundangan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, orang ramai termasuk golongan agamawan diminta untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan berhubung isu tersebut dengan memberinsebarang kenyataan.
Jelas beliau, meskipun ada yang menyatakan tentang kebebasan bersuara, namun perkara itu ada keterbatasannya.
Terdahulu, tular rakaman video sekumpulan lelaki melayu dipercayai telah memaksa dan merakamkan permohonan maaf seorang lelaki disyaki menghina agama islam susulan isu stoking kalimah Allah, baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE.