MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menepis dakwaan gambar padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang tular di laman sosial adalah gambaran terkini venue yang bakal digunakan pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 Selasa depan.
“Itu bukan gambar semalam atau gambar hari ini. Jadi kita kena tunggu pada hari perlawanan (Selasa depan),” katanya secara ringkas pada sidang media di Putrajaya pagi tadi.
Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya bakal melayan kunjungan Oman pada Selasa nanti dalam misi membalas dendam selepas tewas 0-2 pada aksi kelayakan di Muscat awal pagi tadi.
Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sebelum ini mengambil langkah proaktif agar ‘memori hitam’ tidak berulang apabila melantik tenaga pakar, Labosport untuk memastikan keadaan padang SNBJ berada dalam keadaan baik.
Status keadaan padang SNBJ menjadi tanda tanya selepas penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran pada penghujung bulan lalu.
PSM sebelum ini telah dikritik hebat ekoran gagal memastikan keadaan padang dalam keadaan terbaik pada final Piala Malaysia 2023 yang lepas setelah konsert Coldplay dilangsungkan pada 22 November lalu. – KOSMO! ONLINE