SHAH ALAM – Gemuruh kali pertama menjalani ibadah puasa sebagai isteri orang, penyanyi Nabila Razali bangun menyiapkan juadah sahur untuk suaminya Nik Iruwan Nik Izan seawal pukul 2 pagi pada 1 Ramadan lalu.
Menurut Nabila atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd Razali, 32, kesungguhan tersebut berpunca daripada kerisauan berlaku momen terlajak tidur sehingga tak sempat memasak juadah sahur pertama untuk suami.
“Sudah tentu saya gementar sebab baharu bergelar isteri, terutama untuk menyediakan persiapan juadah bersahur dan berbuka sehingga saya mula masak pukul 2 pagi pada awal Ramadan lalu.
“Disebabkan takut terlajak tidur dan tak sempat nak masak, saya lakukan persiapan awal. Jadi, hari itu memang kami sahur awal sekitar pukul 3 pagi,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pelancaran lagu rayanya berjudul Raya Mana? di sini, semalam.
Pengalaman mengajar, masuk minggu kedua berpuasa bersama, pelakon drama Kerana Cinta Itu Ada itu sudah bijak membahagikan masa malah bersyukur suaminya tidak cerewet dalam pemilihan makanan untuk sahur mahu pun berbuka.
“Sekarang semuanya sudah biasa, jadi saya tahu untuk bahagikan masa dan tidak lagi kelam-kabut.
“Suami juga tidak cerewet, kadang-kadang kami selalu makan lewat malam dan dia pun hanya bangun sahur makan kurma sahaja,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia turut teruja kerana akhirnya memiliki lagu rayanya sendiri yang merupakan hasil ciptaan komposer, Ezra Kong.
“Saya sangat suka dengan jalan cerita lagu ini kerana ada kaitan dengan diri sendiri.
“Ezra seperti memahami dengan isu yang bakal saya hadapi tahun ini iaitu lokasi untuk beraya, sama ada di kampung suami atau saya.
“Kalau nak tahu jawapan saya akan beraya di mana tahun ini, semuanya akan terjawab dalam muzik video Raya Mana?,” jelasnya.
Nabila dan Nik Iruwan selamat bernikah pada 18 November tahun lalu dalam sebuah majlis yang berlangsung secara tertutup di sebuah hotel di Pahang. – KOSMO! ONLINE