fbpx

Agong kurnia 25,000 kampit beras kepada asnaf di ibu negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azuan Effendy (dua dari kiri) menyerahkan beras kepada penerima asnaf pada Majlis Penyerahan 25,000 Kampit Beras Kurniaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim kepada Asnaf di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi sumbangan sebanyak 25,000 kampit beras 10 kilogram kepada golongan asnaf di ibu negara.

Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, sumbangan beras itu merupakan hasil cetusan hati sanubari Yang di-Pertuan Agong.

“Yang di-Pertuan Agong begitu prihatin dengan nasib mereka yang kurang berkemampuan di Kuala Lumpur. Maklumlah kita sedang berdepan dugaan ekonomi dan harga barang. Fonemena ini berlaku di banyak negara.

“Bulan Ramadan ini Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan 25,000 kampit beras daripada jenama yang baik dan setiapnya 10 kg kepada asnaf di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mewakili Sultan Ibrahim menyerahkan kampit beras kepada golongan asnaf di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda dekat sini hari ini.

Azuan Effendy berkata, walaupun sumbangan kampit beras 10 kg itu kelihatan kecil, tetapi kurniaan beras tersebut amat bermakna buat golongan yang dalam kesusahan memandangkan beras merupakan makanan ruji rakyat Malaysia.

Menurut beliau, selepas ini akan ada lebih banyak lagi program-program bantuan seperti itu diadakan yang diharap sekurang-kurangnya dalam melegakan keperitan mereka yang dalam kesusahan di Kuala Lumpur.

“Saya fikir ini bukan satu-satunya bantuan Yang di-Pertuan Agong akan laksanakan. Memang menjadi harapan dan keinginan Seri Paduka Baginda untuk sebaik mungkin membantu mereka yang susah,” katanya.

Beliau berkata, program kurniaan beras oleh Yang di-Pertuan Agong kepada golongan yang memerlukan itu juga sedang diteliti untuk dilaksanakan di Labuan selepas ini.

“Program ini elok juga diadakan di masjid kerana menjadikan masjid bukan sahaja tempat ibadat, tetapi termasuk tempat menjalankan program amal jariah dan juga mengimarahkan masjid,” katanya.

Salah seorang penerima kampit beras kurniaan Sultan Ibrahim, Hasan Mat Yunus, 64, berkata, dia berasa sangat gembira dengan bantuan tersebut kerana sedikit sebanyak meringankan beban kewangannya.

“Sekarang harga beras mahal. Dapat sumbagan beras 10 kg ini cukup untuk kegunaan saya dan keluarga selama lima hari. Ahli keluarga saya seramai lima orang,” katanya.

Seorang lagi penerima kampit beras kurniaan Sultan Ibrahim, Ahmad Waumin, 53, berkata, dia rasa bersyukur diatas kurniaan beras oleh Yang di-Pertuan Agong tersebut.

“Saya rasa bersyukur kerana sumbangan ini sangat membantu. Saya tinggal di rumah bersama adik dan kadangkala anak saudara datang ke rumah ziarah.

“Jadi beras ini cukup untuk kegunaan kira-kira seminggu. Sekarang ini kalau nak beli beras terpaksa berkira-kira harga mahal,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI