SKUAD hoki lelaki negara melakukan persiapan awal menghadapi Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024 di Ipoh, Perak apabila mengatur aksi persahabatan menentang New Zealand pada 1 Mei depan.
Ketua jurulatih baharu Speedy Tigers, Sarjit Singh berkata, perlawanan persahabatan di Ipoh, Perak itu menjadi aksi pemanas badan buat mereka sebelum memulakan kempen PSAS dari 4 hingga 11 Mei nanti.
Sarjit yakin The Black Sticks membawa barisan pemain terbaik memandangkan saingan PSAS turut menjadi medan persiapan pasukan No. 10 dunia itu ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“New Zealand dijangka tiba pada 28 April. Kami mengatur satu perlawanan dengan mereka pada 1 Mei di Ipoh. Mereka pastinya dibarisi pemain terbaik kerana ia juga adalah persiapan untuk ke Olimpik.
“Kami cuba aturkan perlawanan dengan Pakistan kerana pasukan negara akan bermain dengan mereka dalam satu kumpulan yang sama di Piala Negara-Negara (FIH),” katanya.
Sebanyak enam pasukan bakal menyertai PSAS antaranya Kanada, Jepun, New Zealand, Korea Selatan dan Malaysia selaku juara bertahan.
Selepas itu, Speedy Tigers akan beraksi pada Piala Negara-Negara FIH di Gniezno, Poland yang akan bermula 31 Mei sehingga 9 Jun depan.
Sementara itu, seramai 42 daripada 46 pemain telah melaporkan diri pada sesi latihan pertama di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil kelmarin kecuali T. Perabu, Muhammad Arif Syafie Ishak, Andywalfian Jeffrynus dan Faizal Saari.
“Perabu tarik diri saat akhir kerana hal peribadi, Arif Syafie dan Andywalfian cedera dan belum pulih, manakala Faizal beraksi di Bangladesh dan akan kembali pada 15 April depan.
“Muhammad Syafiq Hassan menggantikan Perabu. Dia ada hubungi saya meminta diberikan peluang dan saya beri kepadanya untuk buktikan,” jelas Sarjit.