TANJUNG MALIM – Seorang lelaki maut dalam nahas membabitkan dua buah kenderaan yang bertembung di Kilometer 106, Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Masjid Klant Halt, Slim River di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, mangsa, Mohd Azlan Ali Othaman, 47, yang mengalami cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira dipercayai dalam perjalanan dari Slim River ke Tanjung Malim.
“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah lagi kereta Honda City yang dipandu lelaki berusia 38 tahun dari arah Tanjung Malim ke Slim River dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
“Kedua-dua kenderaan itu bertembung dan mangsa tersepit serta mengalami kecederaan parah,” katanya di sini, hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River, manakala pemandu kereta Honda City pula mengalami kecederaan dalaman. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE