JAKARTA – Bintang naturalisasi Indonesia, Marc Klok melaungkan keyakinan tinggi mampu menumbangkan Vietnam buat kali kedua berturut-turut menjelang kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Gelora Bung Karno malam ini.
Ia akan menjadi pencapaian bersejarah buat Sang Garuda yang kini bermotivasi tinggi untuk mengulangi kejayaan menewaskan Golden Star Warriors itu 1-0 sewaktu Piala Asia 2023 di Doha, Qatar pada Januari lalu.
Tanpa berselindung, Klok, 30, menegaskan, Vietnam takut untuk berhadapan mereka sehinggakan terpaksa melancarkan perang psikologi apabila mendakwa beraksi dengan Indonesia ibarat menentang Belanda.
Kontroversi itu tercetus susulan kenyataan pemain tengah Vietnam, Do Duy Manh disebabkan kehadiran ramai pemain naturalisasi Indonesia yang majoritinya dilahirkan dan dibesarkan di Eropah terutamanya Belanda.
“Mungkin tahun-tahun kebelakangan ini Vietnam bermain dengan pemain asli Indonesia. Sekarang mereka takut setelah melihat Indonesia telah berubah dan mampu bersaing dengan gergasi-gergasi Asia,” kata Klok.
Pemain tengah itu dilahirkan di Amsterdam, Belanda dan memulakan karier awal bersama Utrecht sebelum berhijrah menyertai PSM Makassar, Persija Jakarta dan kini Persib Bandung.
Klok juga salah seorang daripada 10 pemain naturalisasi dan warisan dipilih Indonesia untuk aksi bertemu Vietnam termasuk Jordi Amat, Sandy Walsh, Justin Hubner, Jay Idzes, Nathan Tjoe Aon, Thom Haye, Ivar Jenner, Rafael Struick dan Ragnar Oratmagoen.
Haye dan Oratmagoen terlepas pertemuan malam ini kerana proses naturalisasi mereka masih belum lengkap, tetapi dijangka sempat bermain untuk aksi seterusnya di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 26 Mac ini. – AGENSI