fbpx

Sajian tradisi 9 daerah di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CEF Awie (tengah) bersama pasukannya menunjukkan beberapa hidangan menarik.

SETELAH seharian mengharungi hiruk-pikuk kota, pasti enak sekiranya dapat berbuka puasa dengan sajian tradisi kampung.

Tidak perlu pergi jauh, orang ramai boleh menikmati sajian sembilan daerah di Selangor dengan berkunjung ke Warna, Mercure Kuala Lumpur Glenmarie, Shah Alam, Selangor.

Berkonsepkan Sajian Darul Ehsan, terdapat 130 juadah yang terdiri daripada masakan Banjar, Jawa dan fusion disediakan khas buat pelanggan bufet.

Bagi penggemar makanan pedas, mereka wajib mencuba sambal taun atau sambal tahun yang jarang dijumpai di hotel-hotel lain. Sambal taun merupakan makanan tradisi Jawa yang terkenal di Sabak Bernam, Sungai Besar, Sekinchan dan Tanjong Karang.

Sama seperti masak lemak cili api, resepi sambal taun mengandungi campuran pelbagai bahan, antaranya lengkuas dan cili padi kampung.

Sajian itu dihidangkan bersama pelbagai jenis protein seperti kulit lembu, kerang, babat daging lembu atau ikan bilis.

Menurut cef eksekutif, Cef Zaharullail Ashari atau dikenali sebagai Cef Awie, sekurang-kurangnya tiga kilogram kulit lembu diperlukan untuk sajian bufet Ramadan kali ini.

“Sambal taun paling sedap jika dimasak dengan kulit lembu. Bahan ini sangat sukar dijumpai kerana proses penyediaannya memerlukan masa yang panjang.

“Kulit itu perlu dijemur selama seminggu selepas dilapah, kemudian bulu pada kulit dibakar, dibersihkan dan direbus selama lapan hingga sembilan jam. Kemudian, bahan ini dimasak bersama lengkuas, cili padi dan santan. Sememangnya cita rasa asli,” katanya kepada K2.

Nasi ambeng merupakan salah satu hidangan dalam Sajian Darul Ehsan di Mercure Kuala Lumpur Glenmarie, Shah Alam, Selangor.

Selain itu, pelanggan turut berpeluang merasai sendiri resepi signatur Cef Awie iaitu ikan siakap purbakala.

Hidangan tersebut merupakan ikan siakap disumbat dengan 27 herba dan rempah-ratus, kemudian digoreng dengan telur yang telah ‘dipukul’.

Turut dihidangkan dalam bufet tahun ini adalah wadai kipeng, nasi ambeng, punten, kambing salai dan ayam bakar percik.

FARIZ

Dalam pada itu, Pengurus Besar Mercure Kuala Lumpur Glenmarie, Fariz Victor berkata, pengalaman bufet Ramadan ‘Sajian Darul Ehsan’ tidak terhenti pada menu makanan sahaja.

Ini kerana, bibit-bibit pengalaman desa turut disertakan menerusi lukisan artis tempatan, Reggie Lee.

Jelasnya, lukisan-lukisan berbentuk karikatur itu dipamerkan di lobi, Restoran Warna dan bilik hotel.

Ikan purbakala merupakan resepi signatur Cef Awie.

“Pengunjung dapat merasai kisah kehidupan rakyat Malaysia daripada kesibukan pasar malam hingga ke momen-momen nostalgia apabila melihat lukisan Reggie.

“Antaranya adalah gerai mamak, bas sekolah, kopitiam, pasar malam, hari sukan dan acara badminton di kampung halaman.

“Ini seiring dengan konsep ‘Discover Local and Feel Local Everywhere’ untuk hotel kami,” katanya.

Bufet Ramadan Sajian Darul Ehsan di Mercure Kuala Lumpur Glenmarie berakhir pada 7 April depan.

Harga adalah RM138+ untuk dewasa, RM69+ (kanak-kanak 7-11 tahun) dan RM98+ (warga emas berusia 60 tahun ke atas).

Dapatkan tawaran istimewa ‘Beli 4 Percuma 1’ apabila berbuka puasa dengan bufet Ramadan Sajian Darul Ehsan pada hari Sabtu dan Ahad.

Bagi pertanyaan lanjut dan tempahan, sila hubungi atau WhatsApp ke nombor 011-3148 2889.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI