PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan sumbangan berjumlah RM35,000 kepada 200 pelajar asnaf di dua buah sekolah di Pulau Pinang.
Sumbangan berbentuk pakaian dan beg sekolah itu disalurkan menerusi Program Titipan Kasih Back To School Bersama PTPTN.
Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, ia antara program tahunan tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN dengan kerjasama Harian Metro buat julung kalinya.
“Media Prima Berhad turut beri sumbangan berbentuk akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM20,000 di mana setiap pelajar menerima RM100 setiap seorang.
“Ia melibatkan Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam serta Sekolah Kebangsaan Sri Aman dan usaha serupa akan dilaksana berterusan agar masyarakat tidak tercicir pendidikan kerana masalah kewangan,” katanya.
Selain itu katanya, PTPTN turut mengagihkan 1,000 pek bubur lambuk kepada tetamu yang hadir dan penduduk sekitar sempena Ramadan.
PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi komited melaksanakan program-program CSR demi pembangunan anak bangsa selari dengan motonya, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin: Kami Kongsi, Kami Bantu. – KOSMO! ONLINE