PANJANG ceritanya melebihi dua jam dan ensemble atau barisan pelakon bukan calang-calang. Ada Sara Ali Khan, Karisma Kapoor, Vijay Varma dan termasuklah Sanjay Kapoor.
Bernuansa atau bertemakan thriller misteri dengan suntikan elemen satira dan komedi, arahan Homi Adajania memberi rasa pelbagai kepada audiens yang menonton termasuk penulis sendiri.
Secara peribadi, satu percubaan yang agak baik daripada industri perfileman Bollywood hadir dengan sebuah filem yang merupakan adaptasi daripada novel tulisan Anuja Chauhan berjudul Club You To Death itu.
Bagaimanapun, usai act 1 (20 hingga 30 minit pertama), masih terpinga-pinga dan tertanya-tanya di mana sebab atau alasan penulis harus meneruskan tontonan.
Slow burn
Dengan pace yang perlahan atau slow burn, masuk act 2 penceritaan masih berada di takuk yang sama membuatkan terus rasa ingin meneruskan tontonan mengecut.
Dalam hati terdetik, adakah filem Bollywood zaman sekarang memang sudah ‘tiada jiwa’ atau penulis sendiri yang slowpoke sehinggakan tidak bertemu dengan sebab mengapa tontonan filem ini wajar diteruskan.
Nak kata tentang kehebatan plot twist, sudah boleh agak daripada awal siapa yang terlibat dengan pembunuhan terkait The Royal Delhi Club dan ternyata, tidak salah langsung apa yang ditebak selepas mengusaikan tontonan.
Seperkara lagi, dalam dunia sinema, sudah banyak naskhah hebat bertemakan pembunuhan misteri seperti Knives Out, I Know What You Did Last Summer dan Murder Mystery.
Adakah Murder Mubarak akan tersemat dalam ingatan penulis untuk 10 atau 20 tahun mendatang? Tidak.
‘Woah’ Karisma
Adakah Murder Mubarak sebuah filem thriller misteri terbaik Bollywood? Sejujurnya, ada banyak lagi filem terdahulu yang berbekas di hati dan fikiran sehingga sekarang termasuklah Kahaani, Talvar dan Table No. 21.
Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada mereka yang terlibat menyuntik elemen lelucon atau komedi dengan dialog-dialog sumpah seranah Inggeris dan Hindi dalam Murder Mubarak.
Juga, tahniah kerana berjaya ‘menarik keluar’ Karisma Kapoor daripada persembunyian selepas kali terakhir berlakon secara serius pada 2012 menerusi filem Dangerous Ishhq.
Buat penulis, Murder Mubarak umpamanya berkunjung ke bazar Ramadan dengan harapan untuk ‘hunting’ popia berinti sayur-sayuran atau otak-otak.
Kendatipun, pulang hampa dengan popia carbonara terlalu moden tidak sesuai dengan tekak seorang pencinta old school atau cara lama.