SERDANG – Syarikat Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. (Mahsuri Dagang) optimis terhadap inisiatif penganjuran program bubur lambuk bersempena bulan Ramadan adalah satu salah cara untuk mempromosikan produk dan mengukuhkan jenamanya di pasaran.
Pengarah Mahsuri Dagang, Datuk Mohd. Roslan Mahayudin berkata, penganjuran syarikat bersama Media Mulia Sdn Bhd. (Media Mulia) bersempena Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk bertempat di perkarangan Warung Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) Universiti Putra Malaysia (UPM) FBMK UPM juga mencapai objektifnya untuk menyantuni pelajar di institusi pengajian tinggi dan juga masyarakat sekitar.
Jelas beliau, program itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang sentiasa diamalkan setiap tahun bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Pada masa depan, kami akan mengadakan program seumpama ini di lokasi lain dalam usaha bertemu pelanggan baharu.
“Kali ini kami edarkan 1,000 bubur lambuk dan pada masa depan, mungkin kita akan anjurkan program yang sama tapi objektifnya tetap sama,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar.
Selain itu, Mohd. Roslan berkata, pembukaan kilang baharu syarikat itu yang dijangka siap tahun depan di Halal Park Bandar Enstek, Negeri Sembilan, bakal menjadikan Mahsuri Dagang sebagai hab produk bermutu dan halal di rantau ini.
“Jadi, kami seru kepada orang ramai untuk terus memberikan sokongan kepada produk-produk Mahsuri tambahan produk ini adalah keluaran bumiputera yang berkualiti,” jelasnya.
Pada majlis tersebut, kira-kira 1,000 pek bubur lambuk telah diedarkan secara percuma kepada warga universiti dan komuniti setempat.
Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada FBMK UPM di sini dan sesi pengedaran berlangsung meriah di perkarangan Warung Muzium Warisan Melayu fakulti berkenaan.
Lebih menceriakan suasana, chef popular, Mohd Johari Edrus atau lebih dikenali sebagai Chef Jo turut hadir sebagai chef undangan yang bersama-sama turun padang memasak bubur lambuk Terengganu berkenaan.
Selain itu, pada sebelah malam program tersebut, Mahsuri Dagang dan Media Mulia turut menghulurkan sumbangan kepada 40 pelajar asnaf FBMK UPM.
Sumbangan disampaikan menerusi menerusi Program Putra Cakna 2.0 ‘Wahana Cinta Ramadan’: Eratkan Jalinan, Lebarkan Senyuman.
Dekan FBMK UPM, Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim juga telah menyampaikan sumbangan kepada 80 anak yatim dari Baitul Ulfah dan Rumah Bakti Al Kausar. -KOSMO! ONLINE