KUALA TERENGGANU – Dua lelaki termasuk seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini hari ini atas pertuduhan memperdagangkan wanita bagi tujuan seks pada minggu lalu.
Guru tersebut, Mohd. Hasfyanizam Mansor, 48, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.
Seorang lagi tertuduh, Mohamad Fazley Jaafar, 29, pula membuat pengakuan bersalah.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Hasfyanizam dan Mohamad Fazley didakwa memperdagangkan seorang wanita tempatan berusia 29 tahun untuk eksploitasi seks.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh di sebuah apartmen di bandar raya ini pada pukul 2.35 pagi, 11 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula bagi Mohd. Hasfyanizam manakala jatuh hukum untuk Mohamad Fazley.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Khairuddin Idris dan Iffah Nabihah Mohd. Ishak manakala kedua-dua tertuduh pula tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE