MANCHESTER – Ketua Jurulatih England, Gareth Southgate dilaporkan mendahului senarai calon yang diinginkan oleh Sir Jim Ratcliffe untuk menggantikan Erik Ten Hag di Manchester United pada musim panas nanti.
Keyakinan Ratcliffe terhadap pilihannya itu semakin meningkat selepas beliau dikatakan sudah mendapat nasihat dan pandangan daripada beberapa legenda kelab itu serta sokongan kuat daripada bakal pengarah bola sepak mereka, Dan Ashworth.
Kontrak Southgate bersama The Three Lions bakal berakhir pada Disember tahun ini selepas saingan Euro 2024 di Jerman, namun Persatuan Bola Sepak England dilaporkan sedia mengemukakan perjanjian baharu.
Sekiranya United membuat keputusan memecat Ten Hag musim panas ini, mereka akan melantik Southgate sebagai pengendali baharu ketika kontraknya bersama England masih berbaki dan perlu melunaskan pampasan sebanyak £800,000 (RM4.8 juta).
Selain itu, Ten Hag juga dijangka bakal meraih pampasan sebanyak £10 juta (RM60.27 juta) jika khidmatnya disisihkan ketika kontraknya hanya akan berakhir pada Jun 2025.
Biarpun berjaya membantu United mara ke separuh akhir Piala FA, Ten Hag terpaksa menggalas satu lagi tugas sukar bagi memastikan pasukan itu layak ke Liga Juara-Juara musim ini dan kegagalan melakukannya menyebabkan jawatannya dalam bahaya. – AGENSI