fbpx

ATM teliti kaedah lain hantar bantuan ke Gaza selain ‘airdrop’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan kini sedang meneliti kaedah lain yang lebih sesuai digunakan oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain menggugurkannya dari udara (airdrop) dalam menghantar bantuan ke Gaza.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekiranya kaedah ‘airdrop’ digunakan untuk sampaikan bantuan kepada rakyat Palestin di sana, ia akan diuruskan oleh pihak negara luar lain dan bukannya secara terus oleh pasukan ATM.

“Itu memang ada bincang (bantuan secara ‘airdrop’) kita sedang memikirkan cara-cara yang lain yang kita rasa kita juga boleh melakukan.

“Saya percaya melalui kutipan kerajaan yang lalu untuk mangsa di Gaza yang diuruskan oleh kementerian luar itu berterusan.

“Kalau pun kita nak lakukan bantuan kemanusiaan melalui ‘airdrop’, mungkin kita hantar barang ke pihak sana (kementerian negara luar) dan mereka yang akan lakukan, bukan kita hantar kapal terbang kita kesana (Gaza),” katanya.

Beliau ditemui semasa sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri oleh para penyumbang kepada ATM Tahun 2024 di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled menambah, kementeriannya sentiasa dalam keadaan bersedia sekiranya terdapat permintaan daripada pihak luar yang memerlukan bantuan aset ATM untuk menjalankan proses pembenihan awan ekoran cuaca panas ketika ini.

“Itu semua bergantung kepada arahan kerajaan dan jika ada permintaan, seperti biasa Kementerian Pertahanan dan ATM kita bersedia untuk menjalankan apa-apa tugasan yang diberikan.

“Setakat ini masih belum ada permintaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI