PETALING JAYA – Pelakon Shakilla Khoriri tidak berasa bimbang anak kesayangannya, Ameena kini berada di bawah jagaan bekas suami, Fizi Ali buat seketika.
Pemilik nama lengkap Nurul Shakilla Mohd. Khoriri itu berkata, dia hanya memantau keadaan Ameena menerusi Instagram Fizi tanpa menerima sebarang makluman perkembangan terkini permata hati.
“Ramai yang tanya kenapa umi tidak ada kemas kini apa-apa pasal Ameena. Dia okeykah?
“Sejujurnya, umi pun tidak tahu Ameena okey atau tidak sebab dia masih dengan daddy dia sejak Jumaat lalu.
“Jadi, apabila kalian tanya umi, jawapan saya adalah entah. Saya pun tengok keadaan Ameena dalam Instagram daddy dia sahaja dan selebihnya, saya tidak tahu,” katanya dalam Instagram.
Dalam masa sama, pelakon drama Adam Dan Hawa itu turut membiarkan Ameena berada bersama bapanya selama sembilan hari sebelum pulang ke pangkuannya.
“Sepatutnya semalam Ameena sudah balik tetapi umi ‘kasi can’ (bagi peluang) lama dengan daddy sampai Jumaat ini,” katanya menerusi Instagram.
“Harapnya, Ameena okey dan sekolah seperti biasa. Insya-allah, umi percaya daddy Ameena jaga dengan elok dan mereka dapat habiskan masa bersama dengan baik,” jelasnya lagi.
Menerusi perkongsian sama, Shakilla turut memohon doa ramai supaya hubungannya, Ameena dan Fizi bertambah lancar walaupun masing-masing sudah menjalani kehidupan sendiri.
“Doa yang baik-baik untuk perjalanan kami bertiga dengan kehidupan masing-masing yang lebih baik dan harmoni terutama sekali untuk Ameena Sofia,” ujarnya.
Sebelum ini, Shakilla pernah bernikah dengan penyampai radio Fizi Ali pada 18 Januari 2018 namun mengumumkan penceraian pada Disember 2021.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak iaitu Ameena Sofia yang kini berusia lima tahun. – KOSMO! ONLINE