fbpx

1,450 televisyen android diikrar sebagai marmar dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norlela (kiri) menunjukkan televisyen android yang dirampas pada sidang akhbar di Kompleks JKDM Zon Tengah, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit I (Kuala Lumpur) merampas 1,450 televisyen atau Android TV bernilai RM700,000 dalam satu operasi pada 16 Februari lalu.

Ia susulan tindakan penyeludup mengikrarkan barangan tersebut sebagai marmar bagi mengelak membayar cukai yang berlebihan.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, rampasan dilakukan selepas pihaknya memeriksa sebuah kontena bersaiz 40 kaki di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

“Semakan mendapati, kontena tersebut adalah cubaan membawa masuk barangan elektronik berupa televisyen android yang disyaki tidak berkastam. Kita mengesyaki barangan ini akan dipasarkan di secara dalam talian di dalam negara dan dijual pada harga rendah.

“Semakan di Borang Kastam 1 mendapati dagangan telah diikrarkan sebagai marmar dan bukannya televisyen,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks JKDM Zon Tengah, di sini hari ini.

Tambah Norlela, pemeriksaan terhadap kontena berjaya menemui 1,450 unit televisyen android dan skrin monitor pelbagai saiz yang tidak berkastam bernilai RM450,000.

“Pemeriksaan rapi telah dilakukan Unit Kelengkapan Elektrik, Jabatan Kawal Selia Keselamatan, Suruhanjaya Tenaga terhadap kontena terbabit.

“Selain itu, barangan yang dibawa masuk itu turut membabitkan jumlah cukai dan duti yang dianggarkan sebabyak RM190,480,” katanya.

Jelas Norlela, barangan elektronik tersebut gagal disertakan dengan perakuan kelulusan (Certificate of Approval) dari Suruhanjaya Tenaga (ST) dan SIRIM Berhad.

Kata beliau, siasatan lanjut sedang giat dilakukan untuk mengesan modus operandi sindiket terlibat.

“Turut ditahan seorang agen forwarding lelaki untuk siasatan lanjut.

“Kes barang elektrik sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI