KOTA BHARU – Hampir 100 banduan parol dan penjara di Kelantan akan dibebaskan melalui program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Di Nanti) sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Pengarah Penjara Kelantan, Mat Yaacob berkata, setakat ini, pihaknya telah menghantar permohonan kepada pihak Komisioner Penjara bagi proses selanjutnya untuk membebaskan banduan tersebut.
Menurutnya, pelepasan banduan dari penjara Kelantan merupakan antara yang terbesar di negara ini memandangkan berlaku pertambahan prospek berbanding tahun-tahun
sebelumnya.
“Insya-Allah pelepasan banduan akan berlangsung beberapa hari sebelum Aidilfitri. Persiapan akhir telah dilakukan dan kita hanya menunggu lesen dan kelulusan pelepasan sahaja.
“Program PBSL dijalankan sejak pentadbiran Kerajaan Madani kepada banduan yang hampir tamat tempoh pemenjaraan,” katanya selepas program pengagihan bubur lambuk di Penjara Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Dalam program itu, sebanyak 250 bekas bubur lambuk diagihkan kepada petugas penjara Penjara Pengkalan Chepa, Penjara Satelit Pasir Mas, Pusat Pemulihan Akhlak Machang, termasuk Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kuala Krai.
Dalam perkembangan lain, Mat berkata, pihaknya berusaha menyelesaikan kesesakan banduan di penjara Kelantan dengan menghantar banduan ke penjara luar dari negeri ini.
Menurutnya, setakat ini, kapasiti banduan yang ditempatkan di penjara di Kelantan sudah mencapai lebih 6,000 orang. – KOSMO! ONLINE