KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai merakam keterangan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr KK Chai dan tujuh yang lain berhubung penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman berkata, kesemua mereka berbuat demikian pada pukul 12.30 tengah hari semalam.
“Siasatan masih di peringkat awal dan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) akan melaksanakan siasatan secara menyeluruh ke atas fakta iberhubung penjualan stoking kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart Sunway.
“Tindakan termasuk kenal pasti proses perolehan dan lain-lain yang berkaitan bagi mengenal pasti pelaku-pelaku yang terlibat,” ujarnya.
Setakat pukul 12 tengah hari tadi, JSJ menerima sebanyak 80 laporan polis yan dibuat di seluruh negara.
“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh meliputi semua aspek sebelum dapatan akhir dimuktamadkan.
“Siasatan awal setakat ini mendedahkan vendor terlibat beroperasi di Batu Pahat,” katanya.
Semalam, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.
Pada 13 Mac lalu, tular berkenaan penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’ di KK Mart Bandar Sunway selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna media sosial.
Sabtu lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn. Bhd. (KK Super Mart) memohon maaf berhubung penjualan stoking kalimah ‘Allah’ di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.
Susulan itu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, pihaknya telah membuka dua kertas siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE.