LONDON – Pengurus England, Gareth Southgate berharap Aaron Ramsdale mencari jalan untuk kembali berada dalam kesebelasan utama Arsenal jika mahu mengekalkan tempatnya bersama The Three Lions ke Kejohanan EURO 2024 pada Jun nanti.
Ramsdale, 25, hanya membuat enam penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas pengurus The Gunners, Mikel Arteta lebih cenderung menggunakan penjaga gol pinjaman dari Brentford, David Raya.
Begitupun, penjaga gol No.2 Arsenal itu tetap disenaraikan antara 23 pemain England menghadapi dua aksi persahabatan dengan Brazil dan Belgium di Wembley pada Ahad serta Rabu ini.
“Saya menyenaraikan tiga penjaga gol yang saya rasakan terbaik ketika ini. Ia tidaklah begitu ideal kerana Aaron (Ramsdale) tidak bermain, tetapi dia menunjukkan reaksi yang bagus terhadap kesilapannya minggu lalu (Arsenal menentang Brentford).
“Saya percaya dia masih boleh memaksa dirinya untuk kembali (kesebelasan utama Arsenal). Ia akan menjadi satu tugas sukar buatnya selepas apa yang ditunjukkan Raya ketika penentuan sepakan penalti (menentang Porto).
“Namun, dia perlu buktikan kerana ia tidak sempurna sekiranya kami mempunyai tiga penjaga gol, tetapi seorang itu langsung tidak bermain (bersama kelab),” kata Southgate.
Ramsdale menjadi watak penting kejayaan Arsenal muncul naib juara EPL musim lalu, namun jatuh sebagai pilihan kedua sejak kehadiran Raya sehinggakan bekas penjaga gol Sheffield United itu dilaporkan bakal mencari pasukan baharu musim depan.
Selain Ramsdale, Southgate turut menyenaraikan dua lagi penjaga gol untuk aksi persahabatan bulan ini iaitu bintang Everton, Jordan Pickford dan Sam Johnstone dari Crystal Palace. – AGENSI