KUALA LANGAT – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyerbu sebuah kilang memproses sisa elektronik atau e-sisa seluas empat padang bola yang terletak di Telok Panglima Garang, di sini, semalam.
Serbuan Op Mega Bersepadu itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Curi Kenderaan (D4), JSJ Bukit Aman, terhadap kilang tersebut, kira-kira enam kilometer dari jalan utama, sekitar pukul 11 pagi.
Kejayaan serbuan bersepadu tersebut turut membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Pejabat Tanah Kuala Langat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM)
Ketua Penolong Pengarah D4 Bukit Aman, Datuk S Shanmugamoorthy berkata, kilang beroperasi sejak 2019 itudisyaki menjalankan aktiviti memproses dan membeli barangan elektrik, elektronik, sisa barangan berjadual.
Katanya, barangan diperoleh akan diproses dan diekstrak bagi mengeluarkan elemen berharga seperti emas, plumbum dan uranium.
“Pemeriksaan mendapati, premis ini memiliki kabel milik TM seberat lima tan yang tidak sepatutnya berada di situ dan disyaki barangan curi bernilai RM156,000.
“Susulan itu, pengurus premis tersebut ditangkap untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas beliau, seramai 49 warga asing diperiksa dan ditahan pihak Imigresen disyaki pekerja premis tersebut terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal, Myanmar, dan China.
“Sementara itu, pihak MPKL mendapati kilang e-sisa ini menjalankan aktiviti memproses sisa scrap dan wayar kabel tanpa lesen. Dua Notis Tawaran Kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDKL (2007).
“Notis tawaran kompaun tersebut perlu dijelaskan dalam tempoh yujuh hari dan sekiranya gagal, tindakan mahkamah akan di ambil kepada pengusaha kilang tersebut,” katanya.
Tambah beliau, premis berkenaan turut melanggar syarat bagi pengurus bahan memproses sisa scrap dan kabel wayar terpakai dan perintah kompaun akan dikeluarkan kepada pemilik kilang di Pejabat JAS Selangor di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974(Akta 127).
Tegas Shanmugamoorthy, tangkapan dan rampasan seberat lima tan kabel disyaki barang curi telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kuala Langat.
“Tangkapan pekerja asing pula telah dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor di Shah Alam untuk tindakan lanjut oleh JIM Selangor,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.