SUBANG JAYA – Polis telah mengambil keterangan penyampai berita yang membuat dakwaan anggotanya bersikap sombong dan kasar ketika melakukan pemeriksaan terhadapnya, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, seramai lima individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
“Semalam sudah ambil keterangan penulis artikel. Kita (polis) masih dalam tindakan merakam percakapan saksi-saksi.
“Setakat hari ini, lima orang telah diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurut beliau, tiada sebarang tangkapan atau rampasan dilakukan terhadap penyampai berita tersebut selepas keterangannya diambil.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, seorang penyampai berita disiasat susulan menulis artikel yang mendakwa anggota polis bersifat sombong dan kasar ketika diperiksa di hadapan kediamannya di USJ 9, di sini, 13 Mac lalu.
Pengadu yang juga anggota polis terkesan artikel bertajuk ‘Cops must prioritise courtesy’ keluaran sebuah akhbar bahasa Inggeris tempatan mencerita pemeriksaan polis terhadap seorang lelaki tempatan berusia 30-an kira-kira pukul 1.30 pagi di kediamannya.
Setelah membaca berita tersebut, pengadu mendapati ia adalah artikel yang tidak benar dan menjatuhkan imej PDRM secara amnya serta Polis Subang Jaya secara khususnya.
Artikel tersebut telah menyatakan bahawa lelaki tersebut tidak puas hati dengan tindakan polis yang kasar, sombong, tidak profesional semasa menjalankan tugas dan tidak dibenarkan bertanya serta tidak memohon maaf selepas pemeriksaan.
Jelas pengadu, dia telah menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki tersebut mengikut undang-undang serta garis panduan yang ditetapkan dan laporan polis pemeriksaan dibuat selepas kejadian.
Tambah Wan Azlan, kes disiasat di bawah seksyen 504 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 589). – KOSMO! ONLINE.