PETALING JAYA – Sebuah restoran stimbot di Temerloh, Pahang memohon maaf susulan tragedi dapur mudah alih meletup yang menyebabkan kecederaan kepada tujuh beranak, 9 Mac lalu.
Menurut kenyataan restoran tersebut di laman TikTok, pihaknya sudah berjumpa dan berbincang dengan mangsa pada 11 Mac lalu di kediaman mereka dan pada 14 Mac di hospital.
“Menerusi hasil perbincangan itu, kami sudah mencapai kata sepakat untuk tindakan selanjutnya.
“Kami juga sudah membuat laporan polis dan siasatan daripada pihak bomba juga telah dijalankan. Keutamaan sekarang adalah untuk memastikan mangsa pulih sepenuhnya.
“Doakan mangsa segera pulih supaya kes dapat diselasaikan dengan sewajarnya,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, niat satu keluarga makan bersama di sebuah restoran stimbot bertukar menjadi mimpi ngeri setelah dapur gas mudah alih yang digunakan meletup.
Kejadian pada 9 Mac lalu berlaku ketika keluarga berkenaan yang berasal dari Bera singgah untuk menikmati juadah stimbot di sebuah restoran di Temerloh.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan mengesahkan polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 16 Mac lalu yang dikategorikan sebagai kes sivil. – KOSMO! ONLINE