fbpx

Kedah adakan solat sunat istisqa mohon hujan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan anak sungai di kawasan air terjun Titi Hayun, Yan yang kering akibat cuaca panas di Kedah sejak hujung tahun lalu. - Foto OTHMAN YAHAYA

ALOR SETAR – Kerajaan negeri akan menganjurkan program solat sunat istisqa bagi memohon hujan berikutan cuaca panas berpanjangan yang melanda negeri ini ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan dan Sumber Air serta Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff Zakaria berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Mingguan Exco, hari ini.

“Sekarang ini masih cuaca panas dan tidak ada hujan. Berdasarkan maklumat yang saya terima, paras empangan di Bukit Malut yang menjadi tempat utama kita simpan air memang agak kritikal.

“Hari ini ada program solat sunat istisqa untuk meminta tolong Allah supaya hujan. Kita juga akan adakan solat istisqa di tempat-tempat lain seperti apa yang diputuskan dalam Mesyuarat Exco sebentar tadi,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Kata beliau, solat sunat itu akan dibuat secara dalam skala besar terutama di kawasan yang tidak menerima hujan.

Sementara itu, kata Mohamad Yusoff, kerajaan negeri setakat ini tidak bercadang untuk melakukan pembenihan awan kerana paras takungan di kebanyakan empangan di Kedah masih mencukupi.

“Setakat ini masih belum dicadangkan (pembenihan awan) sebab kos agak tinggi selain (langkah) itu tidak semestinya berjaya. Kadang-kadang datang angin, kita sasar kawasan tadahan hujan tapi (hujan) turun tempat lain,” ujarnya.

Beliau pada masa sama memohon kerjasama daripada seluruh masyarakat supaya berhemah ketika menggunakan air.

“Seperti kita sedia maklum musim panas ramai yang mandi kerap, pokok pun kering dan perlu disiram. Itu salah satu sebab air berkurangan.

“Seperti yang saya maklum sebelum ini, kadar pengeluaran air ketika ini sudah lebih daripada kapasiti sebenar. Kalau ikut kapasiti 35 loji rawatan air merawat 1,452 juta liter sehari tetapi pengeluaran setakat ini kita tekan sampai 1,600 juta liter sehari,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI