fbpx

‘Henti lempar kata kesat, Allah masih tutup aib anda’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IBU Aliff Aziz, Siti Hafiza terkilan apabila netizen tergamak menghina Allahyarham orang tuanya dan suami.

PETALING JAYA – IBU kepada kepada penyanyi Aliff Aziz, Siti Hafiza Basharahil mendedahkan keluarganya diserang dengan pelbagai kata-kata penghinaan susulan kes anaknya ditangkap berkhalwat dengan pelakon Ruhainies.

Hafiza berkata, lebih menyedihkan apabila kutukan tersebut turut mengaitkan semua anggota keluarganya termasuk mereka yang sudah meninggal dunia.

“Ramai yang DM (mesej) saya dan pelbagai kata-kata yang baik atau sebaliknya. Saya dan suami menerima semuanya dengan berlapang dada,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram malam tadi.

Sehubungan itu, dia berharap netizen menghentikan tindakan sedemikian yang disifatkan melampau dan tidak berperikemanusiaan.

“Ada yang hingga mengkafirkan, memunafikkan orang tua kami, memaki, menghina dan banyak lagi kata-kata yang tidak sampai hati kami luahkan di sini. Subhanallah,” ujarnya.

Pada masa sama Hafiza menyatakan dia dan suami akan bertanggungjawab atas kontroversi membabitkan puteranya itu.

Malah akuinya, mereka reda berdepan ujian tersebut selain meminta maaf serta sudah memaafkan individu yang menghantar mesej terbabit.

Begitupun kata ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia berharap orang ramai tidak terlalu taksub dengan kontroversi yang melanda Aliff.

“Jika ingin menghina, hinalah kami kerana kami ibu dan ayah dan tanggungjawab kami hingga ke liang lahad. Kami terima dengan hati yang terbuka dengan izin Allah.

“Dengan rendah hati kami mohon kemaafan dan juga kami memaafkan semua yang terlalu taksub kepada manusia walau belum pasti kebenarannya,” katanya.

Menurut Hafiza lagi, pihak yang berterusan melemparkan kritikan bernasib baik apabila aib mereka masih dipelihara Allah.

“Yakinlah Allah masih menutup aib anda dan jika Allah buka aib anda pasti akan merasa apa yang kami rasa, Alhamdulillah.

“Taksublah hanya kepada Allah pencipta kita,” katanya.

Bagaimanapun, hantarannya itu mengundang kecaman netizen yang menegurnya agar berhenti berlagak sebagai mangsa.

“Aunty kalau taksub kepada anak sendiri sampai berlapang dada dengan maksiat yang dibuat, bagaimana pula Aunty? Sampaikan melabelkan mereka yang ada belas ihsan kepada bekas menantu taksub?” kata netizen.

“Mengucap dan bertaubatlah makcik. Sudah-sudahlah ‘play victim’,” komen seorang lagi pengguna akuan media sosial.

Sebelum ini, ibu bapa Aliff yang ditangkap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan heroin gandingannya pada 9 Mac lalu tidak pernah mengeluarkam sebarang kenyataan berhubung kes tersebut.

Hafiza hanya memuat naik hantaran berupa luahan hati serta terbaru menunjukkan anak sulungnya itu bertemu mereka di sebuah lokasi dalam video pendek.

Namun menerusi semakan, dia tidak lagi mengikuti akaun Instagram menantunya, Bella Astillah.

Susulan dakwaan berkhalwat dengan Ruhainies, isteri Aliff memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 13 Mac lalu dan kes itu akan disebut pada 4 April ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI