fbpx

Duda dijel sehari, tumbuk pegawai bomba dakwa jadi punca cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang duda dipenjara sehari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana memeras ugut dan menumbuk pegawai bomba yang didakwa menjadi punca penceraian dalam rumah tangganya.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu terhadap Noor Alfian Noor Latif, 25, selepas tertuduh mengaku salah atas dua pertuduhan yang dihadapinya.

Tertuduh didapati melakukan pemerasan terhadap mangsa sehingga mendorong penjawat awam itu menyerahkan wang RM19,250 pada pukul 9 malam di Bukit Katil di sini, 17 Oktober 2023.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Tertuduh juga didakwa memukul dan menumbuk mangsa sama sehingga cedera pada pukul 4.21 petang, 3 Mac lalu di Bukit Katil.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh memeras ugut mangsa untuk membuat pembayaran berjumlah RM30,000 selepas dituduh menjadi punca penceraian rumah tangganya.

Mangsa kemudian menyerahkan wang RM19,250 melalui beberapa transaksi serta tunai.

Pada 3 Mac lalu, tertuduh berjumpa dengan mangsa di sebuah rumah di Bukit Katil sebelum menumbuk penjawat awam itu.

Terdahulu, tertuduh merayu hukuman ringan kerana dia perlu menanggung seorang anak, ibu dan adik-beradik yang masih bersekolah.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap pemuda itu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama dan denda RM1,000 atau penjara sebulan bagi pertuduhan kedua.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI