SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan menyemak semula keperluan pemakaian baju sukan untuk sekolah dibawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) termasuk ekoran cuaca panas.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini kerana pelaksanaan Kementerian Pendidikan (KPM) tersebut susulan rungutan awal apabila pelajar terpaksa melakukan aktiviti luaran selain faktor cuaca yang panas ketika ini.
“Saya akan semak balik keperluan bagi sekolah-sekolah dibawah kelolaan JAIS. Kalau ada keperluan, kita akan umumkan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui hari ini.
Terdahulu beliau menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Hijrah Selangor dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di foyer bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan golongan ibu bapa merayu agar murid Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dibenarkan memakai pakaian sukan ekoran cuaca panas yang mencatatkan suhu sehingga 38 darjah Celsius ketika ini.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, rata-rata mereka menggesa JAIS supaya mengeluarkan pekeliling yang mengizinkan pemakaian baju sukan ke sekolah.
Malah, laman Facebook JAIS ‘dihujani’ dengan rintihan serta luahan ibu bapa yang mahu murid KAFA di Selangor dibenarkan memakai pakaian sukan seperti tahun lepas.
Sekarang ini KAFA integrasi di negeri itu mewajibkan pemakaian uniform penuh kepada murid iaitu dengan pakaian baju Melayu, bersamping dan songkok bagi lelaki dan baju kurung bagi perempuan.
Pekeliling bagi sesi persekolahan 2024/2025 itu menyebut sekolah agama kendalian jabatan itu tidak terikat dengan peraturan ditetapkan KPM. – KOSMO! ONLINE