BRATISLAVA, Slovakia – Sebuah bandar di Slovakia mengisytiharkan darurat selepas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun menjadi mangsa terbaharu bagi siri serangan beruang.
Akhbar Metro UK melaporkan, pihak berkuasa mengarahkan rondaan dilakukan untuk membunuh haiwan yang mengamuk itu.
Serangan beruang tersebut berlaku Ahad lalu di bandar Liptovsky Mikulas, yang menyebabkan seorang wanita berusia 49 tahun cedera di bahu, manakala seorang lelaki berumur 72 tahun luka di kepala.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dan dua orang dewasa lain kemudian menjadi mangsa seterusnya.
Mereka mengalami calar dan lebam, manakala sepasang suami isteri yang menolak anak mereka di dalam kereta sorong bayi, bernasib baik kerana dapat melarikan diri.
Penduduk diminta untuk tidak meninggalkan rumah mereka, terutamanya pada awal pagi dan lewat malam ketika pemburu haiwan tiba di bandar itu untuk memburu beruang berkenaan. – AGENSI