fbpx

10 penjawat awam direman, terima rasuah lebih RM3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi permohonan reman oleh SPRM hari ini.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 10 penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah lebih RM3 juta daripada sindiket penyeludupan tembakau, rokok dan arak secara haram.

Perintah reman selama empat hari bermula 20 sehingga 23 Mac 2024 terhadap sembilan suspek lelaki dan seorang wanita dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut sumber, kesemua suspek berusia sekitar 30-an hingga 50-an telah ditahan bersama lima lagi individu ketika hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan, petang semalam.

“Tangkapan terhadap suspek ini adalah susulan Op Samba 2.0 dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sejak Isnin minggu lalu.

“Kesemua suspek yang ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM3 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan menyeludup tembakau kunyah, rokok, arak serta beberapa barangan lain antara tahun 2017 hingga 2023,” katanya.

Susulan tangkapan ini, AML SPRM turut merampas barangan seperti telefon bimbit serta membekukan akaun bank kesemua suspek.

Sebelum ini, AML SPRM telah berjaya menangkap dan menahan reman 11 individu termasuk lima orang penjawat awam.

Modus operandi sindiket termasuk menggunakan khidmat ‘forwarding agent’ sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada penguat kuasa untuk melicinkan proses penyeludupan arak, rokok, tembakau dan barangan lain tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya.

Sindiket ini juga dipercayai menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka.

Selain itu, sindiket ini juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan ‘syarikat hantu’, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman terhadap 10 suspek tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, lima suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI