fbpx

Skim struktur industri padi, beras baharu bakal diumum tidak lama lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad ketika sesi MQT di Dewan Rakyat hari ini. - Foto JAPEM

KUALA LUMPUR – Satu skim baharu bagi menstruktur semula industri padi dan beras tempatan sebagai penyelesaian jangka panjang akan diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata perincian mengenai skim berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat kerana ketika ini KPKM giat mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh meliputi petani sehingga ke persatuan peladang bagi mengumpul maklumat bagi menjayakan skim baharu tersebut.

“Kita sedang melakukan libat urus secara intensif bersama petani dan persatuan peladang. Semua memberi pandangan masing-masing. Semua itu kita akan umumkan dalam dua tiga hari ini mengenai satu skim baharu.

“Ini (pelan tindakan) jangka panjang yang lebih kepada penstrukturan semula industri beras dan padi negara. Semuanya akan kita buat libat urus termasuk dengan ahli Parlimen supaya semua memberi pandangan kerana ini masalah negara, bukannya parti mana, bukan masalah kaum,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang ingin tahu tindakan luar biasa KPKM bagi menangani isu bekalan beras putih tempatan (BPT) yang sukar didapati di pasaran ketika ini.

Mohamad berkata, polemik akan berterusan jika kerajaan tidak mencukupkan stok beras negara dan itu sebabnya KPKM merancang tindakan menyusun semula industri beras dan padi negara.

“Pengeluaran BPT hanya 62 peratus beras di Malaysia manakala pihak seperti zakat, kontrak kerajaan, hospital, balai polis, sekolah, asrama dan sebagainya menggunakan BPT, menyebabkan yang untuk edaran tinggal kira-kira 50 peratus.

“Masalah bekalan menjadi masalah buat sementara dan kita kena susun semula. Penyusunan industri beras dan padi ini dilakukan pada 1980-an dahulu yang mana lahirnya Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dan sebagainya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI