SEREMBAN Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah membantu seramai 3.96 juta pelajar melibatkan dana pinjaman yang telah dikeluarkan berjumlah RM71.65 bilion sehingga 29 Februari lalu.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, daripada jumlah berkenaan, seramai 25,928 orang merupakan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan dana pinjaman yang telah dikeluarkan berjumlah RM480.24 juta.
“Kemudahan pinjaman ini membuktikan peranan dan sumbangan besar PTPTN dalam melahirkan golongan cerdik pandai sekali gus menjadi aset penting kepada negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara USIM, MyFundAction dan PTPTN di Bangunan Canselori USIM, Nilai di sini hari ini.
Katanya, dalam misi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman, PTPTN turut menyediakan instrumen simpanan terbaik yang sangat bermanfaat kepada masyarakat Malaysia iaitu Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).
“Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat iaitu pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan maksimum RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah,” katanya. – KOSMO! ONLINE