fbpx

Pengarah Emraz didakwa 16 pertuduhan gagal bayar tuntutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULKARNAIN didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini kerana gagal bayar tuntutan tipu pakej umrah.

JOHOR BAHRU – Sebuah syarikat pengendali pakej umrah Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. bersama seorang pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas 16 pertuduhan gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar balik tuntutan wang lapan individu berjumlah RM131,890.

Datuk Zulkarnain Endut, 43, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Seorang lagi pengarah syarikat, Datin Mazuin Mustafa, 43, yang juga isteri kepada Zulkarnain turut berdepan lapan pertuduhan tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana berdepan masalah kesihatan.

Mengikut kertas pertuduhan, Emraz Travel & Tours dan pengarahnya berdepan pertuduhan gagal mematuhi award TTPM yang memerintahkan supaya membayar RM131,890 kepada lapan individu yang merupakan pihak yang menuntut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang diketuai Mohd. Sophian Zakaria, Suhana Mohd. dan Shafiq Mahadi manakala tertuduh diwakili Datuk Hanif Hassan.

Pihak pendakwa raya memohon jaminan dikenakan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

“Menggunakan wang simpanan mereka ke Tanah Suci, ada yang menggunakan wang peninggalan arwah suami. Bayaran dibuat oleh semua mangsa sejak Februari tahun lalu, dan sepatutnya menunaikan ibadah umrah pada Mac tahun lalu.

“Sebelum ini pendakwaan di Mahkamah Putrajaya atas 63 pertuduhan, seterusnya Mahkamah Majistret Kota Bahru atas 51 pertuduhan dan Mahkamah Majistret Seremban, 51 pertuduhan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 kepada OKS dan perlu hadir untuk melapor diri setiap bulan di pejabat KPDN Putrajaya.

Mahkamah menetapkan 22 April depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan pertuduhan terhadap seorang lagi pengarah syarikat Mazuin yang tidak hadir hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI