PETALING JAYA – Enggan memanjangkan konfrontasi, pelakon Norman Hakim sedia memikul tanggungjawab berhubung pernikahan anak perempuannya, Marissa Dania yang berlangsung di Songkhla, Thailand.
Malah, pemilik nama lengkap Mohamed Nurhakim Zaidon, 48, itu berjanji akan menyelesaikan isu berbangkit, selain meminta maaf kepada bekas isterinya, Abby Abadi atas kesilapan dilakukan.
“Ampun maaf untuk yang kesekian kali, untuk segala kelemahan, salah dan silap. Saya ambil tanggungjawab ini andai ini semua khilaf saya.
“Seperti yang saya katakan insya-Allah saya usaha yang termampu,” tulisnya menerusi ruangan komen dalam hantaran dibuat bekas isterinya itu.
Menerusi perkongsian sama, bapa kepada enam cahaya mata termasuk tiga bersama pelakon Memey Suhaiza itu turut mengakui terpaksa menggunakan Instagram untuk berkomunikasi kerana tidak dapat berhubung dengan Abby.
“Jarang saya nak komen secara terbuka tetapi kami tak ada akses untuk menghubungi awak,” ujarnya.
Menerusi komen sama, pelakon Gerak Khas itu tidak ketinggalan menyampaikan salam anak mereka kepada Abby.
“Dania (Marissa) kirim salam sayang untuk awak. Doakan yang baik-baik,” katanya.
Perang dingin antara mereka difahamkan tercetus selepas Norman meminta Abby berhenti berkongsi mengenai hal pernikahan Marissa yang menjadi bualan hangat ramai kepada umum.
Kemudian wanita terbabit menempelaknya pula dengan mendakwa Norman lepas tangan terhadap anak-anak mereka tetapi dinafikan.
Ini susulan kenyataan Abby dalam sebuah platform audio siar atau podcast yang mengesahkan Marissa dan Aslam telah bernikah di Thailand seperti dakwaan tular sebelum ini.
Dia turut mendedahkan Marissa keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga dan isteri pertama lelaki terbabit iaitu Misya demi membolehkan mereka bernikah secara sembunyi.
Susulan pendedahan tersebut, lebih banyak kecaman netizen dihamburkan terhadap Marissa yang membuatkan Abby sedih apabila darah dagingnya itu berterusan menjadi bahan sindiran. – KOSMO! ONLINE