KEMAMAN – Mayat dipercayai lelaki yang terjun dari Jambatan Bukit Kuang, semalam ditemui selepas 19 jam pencarian dilakukan.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Azman Alias berkata, mayat dipercayai lelaki berusia 44 tahun tersebut ditemui pada pukul 2.25 petang.
“Pasukan Maritim Malaysia (APMM) yang yang melakukan pencarian menggunakan bot Perkasa 49 menemui mayat mangsa pada kedudukan kira-kira 500 meter dari lokasi dia hilang.
“Mayat lelaki yang masih lengkap berpakaian berkenaan ditemui dalam keadaan terapung,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Azman berkata, pihaknya percaya mayat itu merupakan lelaki yang terjun dari Jambatan Bukit Kuang semalam namun pengecaman masih belum dilakukan ahli keluarganya.
Beliau berkata, mayat tersebut kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah keluarga dipercayai terjun dari Jambatan Bukit Kuang pada pukul 7.20 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, lelaki berasal dari Johor itu meninggalkan beberapa keping nota dan surat di atas motosikalnya yang dijumpai di kaki lima jambatan. – KOSMO! ONLINE