PETALING JAYA – Pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA) menafikan dakwaan ada pesakit lewat menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT), Sabtu lalu.
Pengarahnya, Dr. Sal Atan berkata, pihaknya telah membuat siasatan dalaman selepas tular satu hantaran yang dimuat naik seorang pengguna aplikasi X, berhubung waktu kehadiran dan kelewatan menerima rawatan.
Katanya, pesakit telah didaftar di JKT pada pukul 10.33 malam sebelum diambil tanda ‘vital’ di Zon Hijau pada pukul 10.45 malam.
“Rawatan awal (splinting) telah diberikan kepada pesakit pada pukul 11 malam sebelum pegawai perubatan melihat pesakit pada pukul 3.30 pagi.
“Susulan itu, pesakit dirujuk kepada pegawai perubatan dari Jabatan Ortopedik pada pukul 4.10 pagi. Pesakit didiagnos dengan kepatahan tulang clavicle (tulang selangka).
“Pegawai perubatan tersebut memberikan rawatan ‘conservative’ dan pemberian janji temu rawatan susulan pada 24 Mac depan (Rabu) pukul 8 pagi di Klinik Ortopedik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Sal, pesakit tersebut kemudiannya dibenarkan discaj dengan sijil cuti sakit dan turut dibekalkan ubat tahan sakit.
Ujarnya, pihak hospital memandang serius berkenaan perkara tersebut dan sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada orang awam yang hadir ke HSA untuk menerima rawatan.
Terdahulu, seorang pengguna aplikasi X dikenali sebagai @iqakhairuzamann yang dipercayai merupakan ejen insurans memuat naik beberapa ciapan berhubung lewat menerima rawatan di hospital tersebut.
Dia mendakwa seorang pelanggannya yang mendapat rawatan di hospital kerajaan menunggu dari pukul tujuh malam sehingga keesokan harinya untuk mendapat giliran imbasan X-ray.
Hantaran tersebut tular dan mendapat kecaman pengguna media sosial kerana dilihat ingin memburukkan nama hospital kerajaan demi untuk menjual ‘medical card’ atau insurannya. – KOSMO! ONLINE