SEBERANG PERAI – Seorang kanak-kanak lelaki yang menderita kanser neuroblastoma memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM106,772 bagi meneruskan peringkat akhir rawatan yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
Kanser yang dihidapi Fahrian Faizin Hazman, 6, dikesan sejak dua tahun lalu sebelum pemeriksaan lanjut mendapati anak kecil itu menghidap kanser tahap tiga.
Kanser ini kebiasaannya berlaku disebabkan sel-sel saraf yang belum matang.
Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, rawatan yang terbahagi kepada enam peringkat itu akan dijalankan serta-merta supaya sel kanser dapat dibendung.
“Ibunya mendedahkan Fahrian jarang menangis semasa rawatan, malah memiliki semangat kuat untuk melawan penyakit.
“Dalam tempoh lebih setahun, dia telah melalui lima peringkat rawatan termasuk beberapa sesi kemoterapi dos tinggi dan rendah serta pembedahan mengeluarkan tumor,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, ubat imun untuk rawatan itu diimport dengan kos sangat tinggi sehingga ibu bapa Fahrian kehabisan wang simpanan dalam tempoh dua tahun.
Katanya, bapa Fahrian, Hazman Hisammuddin, 36, bekerja di pusat servis kereta dengan pendapatan sekitar RM4,000 sebulan, manakala ibunya, Nur Aishah Zulkiflie, 35, suri rumah.
“Mereka sedang berusaha keras mengumpul wang untuk menampung kos ubat itu, tetapi keadaan kewangan ketika ini sangat terbatas.
“Pasangan ini masih memerlukan bantuan sehingga RM106,772 untuk membeli ubat bagi meneruskan rawatan di peringkat akhir,” ujarnya.
Justeru, pihaknya telah melawat rumah keluarganya di Puchong, Selangor sebelum melancarkan saluran dana tersebut.
“Pasangan ini mempunyai tiga lagi anak iaitu dua lelaki berusia 10 dan 8 tahun serta seorang perempuan berusia setahun.
“Mereka tinggal bersama datuk dan nenek selain perlu menanggung pelbagai komitmen termasuklah pinjaman kereta dan lain-lain,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan boleh menghubungi talian hotline 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192, 018-911 4192 atau layari onehopecharity.org untuk maklumat lanjut.