PETALING JAYA – Tampak moden namun hakikatnya, penyanyi Tom yang melahirkan cahaya mata keempat genap sebulan lalu cukup patuh mengikuti amalan berpantang secara tradisional.
Kata pemilik nama lengkap Raja Farah Afzal Raja Ikram, 37, sepanjang tempoh itu urusan di rumah banyak dibantu suaminya, Fuad Rahman termasuk berpilis, bertungku serta mandi herba bagi memulihkan kesihatan dalaman.
“Alhamdulillah, kali ini saya dapat berpantang sepenuhnya dengan panduan ibu saya di kampung yang kerap saya hubungi sebagai sumber nasihat mengenai berpantang.
“Disebabkan berpantang di rumah dan saya bersalin secara pembedahan banyak perkara suami tolong terutama jaga bayi serta sediakan bahan seperti sediakan jamu, berpilis dan sebagainya.
“Ketika melahirkan tiga anak terdahulu saya cuti pendek saja sebab kena keluar cari rezeki, jadi sekarang saya ambil peluang segarkan diri sepenuhnya sambil menjaga permata hati,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Akui penyanyi itu lagi, pada usia begini kesihatan dalaman menjadi keutamaan untuk membolehkannya menjaga keluarga serta kembali cergas bekerja.
“Saya bersyukur dapat suami yang ringan tulang. Walaupun memasak bukan bidangnya, bab jaga anak-anak, uruskan hal mencuci dan mengemas memang dia cekap.
“Patutnya saya dibantu bidan untuk sebulan tetapi disebabkan bersalin secara pembedahan, saya minta wanita terbabit datang uruskan bayi cuma pada minggu pertama saja.
“Hanya pada hari ini dia datang semula ke rumah untuk sesi urutan pula, ikutkan hari ini adalah hari ke-30 saya berpantang.
“Memang jaga betul-betul. Saya tak keluar rumah, kecuali ke klinik dan buat urusan di Jabatan Pendaftaran Putrajaya (JPN), semalam.
Tom berkata, dia perlu menemani Fuad yang berasal dari Singapura ke JPN untuk mendaftarkan nama anak mereka, Putri Anggun Lovellia kerana suaminya kurang arif berkenaan urusan pendaftaran di sini.
Menyentuh mengenai nama pilihan, dedah Tom Lovellia adalah panggilan diingini untuk zuriatnya sejak hamil anak pertama 10 tahun lalu, manakala Anggun pula atas saranan Fuad yang menyukai lagu penyanyi Anggun.
Putri Anggun Lovellia merupakan anak pertama Tom dan Fuad yang mendirikan rumah tangga pada 24 Februari 2023.
Tom sebelum ini pernah berkahwin tiga kali dengan dikurniakan tiga cahaya mata, manakala suaminya pula mempunyai dua anak menerusi dua perkahwinan terdahulu. – KOSMO! ONLINE