KUALA SELANGOR – Seorang wanita sanggup berpura-pura berqiamullail sebelum tergamak mencuri beg tangan jemaah di Masjid Raja Lumu, Bukit Malawati di sini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) masjid tersebut
Pengurus Masjid Raja Lumu, Luqman Hafiz Mohd. Amir berkata, penelitian CCTV mendapati suspek berlegar-legar di ruang solat wanita dan hanya menunaikan solat hajat di penghujung qiamullail.
Katanya, suspek melakukan jenayahnya apabila semua jemaah keluar ke khemah untuk bersahur.
“Wanita yang memakai telekung separuh itu kemudian menanggalkannya sebelum menghampiri rak berdekatan pintu belakang. Dia (suspek) yang menyelongkar beg itu segera beredar selepas menyedari jemaah yang selesai bersahur masuk ke dalam ruang solat,” katanya hari ini.
Menurut Luqman Hafiz, kecurian itu disedari mangsa berusia 60 tahun yang mendapati beg tangan miliknya hilang.
“Kes kecurian beg itu kali pertama berlaku di masjid berkenaan yang mengadakan Qiamullail setiap awal pagi Ahad sepanjang Ramadan ini,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa mengesahkan menerima laporan kes tersebut dan pihaknya dalam usaha mengesan suspek. – KOSMO! ONLINE