fbpx

UiTM terima dana hampir RM300 juta tanpa kelulusan Menteri Kewangan – PAC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membuat rumusan bahawa suntikan dana RM259.98 oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM)tanpa kelulusan Menteri Kewangan bagi tujuan pemilikan saham dalam UiTM Holdings Sdn. bhd. tidak selaras dengan kehendak Akta 173.

Menurut laporan yang dikeluarkan PAC hari ini, UiTM Holdings dan anak-anak syarikatnya belum mencapai objektif asal dan mandat untuk mencipta kekayaan, peluang pelaburan kepada UiTM serta meningkatkan kedudukan strategik perniagaan teras syarikat.

Laporan itu dibentangkan selepas PAC mengadakan prosiding pada 6 Disember 2023 bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, Naib Canselor UiTM Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UiTM Holdings, Farisan Mokhtar.

“Kegagalan UiTM mendapatkan kelulusan Menteri Kewangan tidak selaras dengan peruntukan di bawah Akta Universiti Teknologi MARA 1976 [Akta 173] dan menyebabkan pengambilalihan UiTM Private Education Sdn. Bhd. (UPESB) dan UiTM Technoventure Sdn. Bhd. (UTVSB) bertentangan dengan akta.

“Suntikan modal berjumlah RM259.98 juta oleh UiTM daripada tahun 2007 hingga 2018 tanpa kelulusan Menteri Kewangan bagi tujuan pemilikan saham dalam UiTM Holdings juga tidak selaras dengan kehendak Akta 173,” katanya, hari ini.

Selain itu, laporan itu turut merumuskan meskipun projek solar memberi manfaat kepada UiTM Holdings, namun pertukaran syarat nyata tanah di Solar Park I Gambang, Pahang masih belum diselesaikan.

Sebagai langkah penambahbaikan, PAC mengesyorkan UiTM perlu lebih efektif dalam mengawal selia UiTM Holdings dan anak-anak syarikatnya supaya menjana keuntungan dan mampu membayar dividen selaras dengan matlamat penubuhan.

Katanya, UiTM perlu memastikan pematuhan kepada kuasa melulus dalam membuat pelaburan, pinjaman dan penubuhan syarikat subsidiari selaras dengan peruntukan Akta 173.

Justeru, PAC akan memanggil semula Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan UiTM bagi tindakan susulan bagi isu ini dalam tempoh dua bulan untuk mengetahui maklum balas terhadap syor-syor yang diberikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI