fbpx

Siti Nurafiqah bekerja sambilan, tampung pengajian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI NURAFIQAH juga mempunyai minat mendalam berkaitan fotografi.

SETIAP mahasiswa memiliki cara dan jalan tersendiri bagi mencari pendapatan sepanjang pengajian mereka di universiti.

Kebiasaannya, mereka memilih untuk bekerja separuh masa tidak kira dalam apa jua bidang dan seboleh-bolehnya tidak mengganggu jadual kuliah.

Bagi Siti Nurafiqah Azwan, 22, dia juga tidak terlepas daripada melakukan kerja-kerja separuh masa di luar waktu akademik bagi menampung keperluan mendatang.

Katanya, dia mula bekerja separuh masa sejak November 2022 iaitu sebulan selepas mendaftarkan diri dalam program Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu dengan Kepujian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

“Tujuan saya bekerja sambil belajar kerana ingin mendapatkan duit lebih bagi membayar yuran pengajian, membeli barang keperluan seperti makanan harian dan banyak lagi komitmen yang perlu diselesaikan.

“Sebelum ini saya mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM3,090 setiap semester.

“Pun begitu, saya telah membatalkan pinjaman tersebut bermula pada semester ketiga kerana ingin mengelakkan hutang yang perlu dibayar pada masa akan datang,” katanya kepada iGen.

Jelas anak kelahiran Penaga, Pulau Pinang itu, biarlah dia mengajar dirinya erti susah mencari pendapatan sendiri dari sekarang.

“Saya percaya, semua ujian yang dihadapi ini sebagai salah satu suntikan semangat kepada seorang pelajar yang ingin berjaya.

“Tidak sekadar menjadi kakitangan kedai kasut, saya terlibat dalam bisnes kecil-kecilan dengan menjual ramen dan sambal garing yang dibuat oleh ibu,” katanya.

Selain sibuk bekerja dan memenuhi jadual kelas akademik, Siti Nurafiqah juga merupakan pelajar yang aktif dalam persatuan.

SITI NURAFIQAH menjual sambal garing yang dihasilkan oleh ibunya.

Katanya, dia pernah memegang beberapa jawatan besar dalam persatuan seperti Timbalan Setiausaha Majlis Mahasiswa Anak Pulau Pinang 2023/2024.

“Selain tu, saya diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai Exco Ekonomi dan Keusahawanan bagi USIM Care 2022/2023.

“Saya juga merupakan salah seorang ahli aktif dalam persatuan media universiti.

“Saya suka mendidik dan ajar diri agar mahir melakukan apa sahaja,” katanya.

Ditebak mengenai perancangan dan hala tuju selepas tamat pengajian kelak, anak keempat daripada lima beradik itu memberitahu, dia ingin mencari peluang pekerjaan di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur.

Ujarnya, dia ingin memohon pekerjaan berkaitan dengan bidang yang dipelajari seperti pembangunan kandungan digital, pengurusan media, perhubungan awam, penyiaran dan kewartawanan.

“Apa sahaja jenis kerjaya yang saya dapat nanti, saya pasti akan melakukannya dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

“Di samping itu, saya merancang untuk menjadi jurugambar dan menjadikan kerjaya tersebut sebagai kerja sambilan.

“Saya mahu membuktikan kepada kedua-dua ibu bapa bahawa saya telah memilih jalan yang tepat untuk kehidupan.

“Saya juga ingin membanggakan mereka dengan kejayaan.

“Ini kerana, ibu bapa saya bergantung harapan kepada saya sebagai salah seorang anaknya yang berjaya memasuki universiti awam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI