Keprihatinan Majlis Amanah Rakyat (Mara) terhadap usaha membangunkan usahawan dan memberi peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dengan menawarkan pelbagai pinjaman kepada segmen pelanggan, kini berdepan dengan masalah tunggakan hutang daripada mereka yang lalai dan tidak amanah.
Namun dengan penubuhan Rural Capital Berhad (RCB), anak syarikat Mara Corporation Sdn. Bhd. sejak tahun 2013, ia telah membantu Mara mencari peminjam yang gagal membayar hutang masing-masing dengan pelbagai kaedah sehingga terpaksa turun padang menemui mereka di rumah dan premis untuk berbincang dengan pembayaran hutang tertunggak.
Ini tanggungjawab besar yang digalas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hiruddin Hashim yang menyertai RCB sejak dua tahun lalu dan melalui sokongan daripada kakitangannya termasuk dari seluruh negeri, syarikat berjaya mengutip sehingga RM3 bilion hutang daripada peminjam sejak 10 tahun lalu.
“Kami akan terus mencari mereka (peminjam yang gagal bayar hutang). Sebenarnya ini adalah sikap peminjam masing-masing yang tidak mengambil berat tentang tanggungjawab mereka untuk melunaskan hutang masing-masing.
“Bagaimanapun, kami telah berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Mara dan kami sasarkan tahun ini akan mengutip RM300 juta,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh jelaskan secara umum tentang RCB?
Hiruddin: RCB memfokuskan kepada empat cabang perniagaan iaitu pengurusan bayaran balik pinjaman, perkhidmatan pembiayaan, penyelesaian berasaskan digital dan juga perniagaan runcit.
Kami kini lebih tertumpu kepada segmen mengutip hutang pinjaman Mara dan juga pembiayaan. Selain kutipan hutang Mara, kami juga telah mendapat kepercayaan daripada beberapa anak syarikat di bawah kerajaan negeri untuk membuat kutipan hutang sejak beberapa tahun lepas.
Apakah jenis hutang Mara yang dikutip?
Kami kutip hutang pelajaran yang mana ia mewakili kira-kira 60 peratus dan bakinya adalah hutang perniagaan.
Sehingga kini berapa banyak jumlah hutang yang telah berjaya dikutip?
Sejak 10 tahun lalu, kami telah berjaya kutip sebanyak RM3 bilion dan Mara sendiri telah memberi sasaran kepada kami untuk membuat kutipan dan tahun ini kami akan mencapai sehingga RM300 juta berbanding tahun lepas sebanyak RM250 juta.
Apakah kaedah yang digunakan untuk mengutip hutang daripada peminjam sedangkan kita sedia maklum bahawa ia sudah lama tidak berbayar?
Kami telah membangunkan Unit Kualiti dan Pemulihan Kredit yang mana kami akan menghubungi peminjam melalui telefon dan berbincang tentang hutang lapuk dan pembayaran yang dibuat. Kami akan menstruktur semula pembiayaan tersebut agar mereka mudah membuat pembayaran.
Peminjam hutang lapuk ini juga boleh membuat pengeluaran daripada simpanan mereka di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Kami turut menganjurkan program yang dikenali sebagai Peace of Mind yang sebelum ini ditukar daripada Kempen Gerak Gempur yang dianggap agak negatif dan ‘menakutkan’ peminjam.
Jadi, setiap bulan kami akan anjurkan program tersebut di setiap negeri dan kami menjemput mereka yang mendapat notis peringatan untuk hadir dan berbincang dengan kakitangan kami di sana.
Lebih menarik, turut berada di program tersebut adalah kakitangan dari KWSP yang akan membantu mereka membuat pengeluaran daripada akaun dua untuk membayar hutang mereka.
Pilihan terakhir kami adalah melawat ke rumah dan premis perniagaan si peminjam tetapi ia bukan bermakna mereka perlu bayar hutang pada hari berkenaan, kami cuma datang untuk berbincang bagi menstrukturkan pinjaman agar mereka membayar komitmen masing-masing.
Siapakah mereka yang tidak membayar hutang Mara dan apakah alasan yang diberikan?
Selalunya kami kendalikan kes hutang yang sudah lama tertunggak iaitu lima tahun ke atas. Mara hanya senarai hitamkan peminjam ini dalam Kumpulan Mara sahaja tetapi peminjam ini boleh mendapat pembiayaan lain seperti pinjaman rumah dan kereta atau dana lain.
Bagi peminjam Mara yang balik ke Malaysia dengan memiliki kelulusan yang baik dan kerjaya stabil pada masa sekarang pastinya sudah bergaji besar, maka mereka akan membayar hutang tertunggak mereka tapi pada awalnya mungkin mereka tidak mempunyai sumber pendapatan yang kukuh sehingga terbeban untuk membayar hutang.
Bagi peniaga pula, mungkin perniagaan tidak untung dan mengalami masalah menyebabkan tidak mampu membayar hutang.
RCB juga membantu pihak luar selain Mara untuk membuat kutipan hutang, siapakah pelanggan tersebut?
Kami juga dilantik oleh beberapa kerajaan negeri seperti Kedah, Terengganu, Kelantan dan Sarawak. Selain itu kami juga mendapat kepercayaan daripada koperasi dan kolej. Tahun lepas kami telah berjaya mengutip lebih daripada RM100 juta dan pada tahun ini kami sasarkan ia bertambah kepada RM200 juta.
Dalam persekitaran ekonomi yang sukar kini, adakah RCB berdepan kesukaran untuk mengutip hutang daripada peminjam?
Untuk mengutip hutang daripada peminjam pelajaran tidak sukar sebab mereka berkerjaya dan ada sumber duit untuk membayar hutang masing-masing.
Lagipun tiada tindakan tegas dikenakan kepada mereka jadi ia berbalik semula kepada sikap dan tanggungjawab mereka sebagai peminjam. Tetapi apa yang kami lakukan adalah lebih baik ada daripada tiada langsung (Some thing’s better than nothing).
Salah satu pendapatan RCB adalah komisen kutipan hutang, berapakah keuntungan syarikat yang disasarkan pada tahun ini dan pencapaian tahun lepas?
Kami jangkakan keuntungan tahun ini adalah sebanyak RM15 juta kenaikan daripada tahun sebelumnya iaitu RM11 juta.
Peningkatan ini juga dipacu oleh komisen yang diperoleh daripada sumber kutipan hutang di luar Mara. Pada tahun 2020, keuntungan kami adalah sebanyak RM7 juta.
Kami adalah salah satu daripada lima anak syarikat di bawah Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah yang berjaya mencatat keuntungan lima tahun berturut-turut.
Boleh layari laman web RCB di www.ruralcapital.com.my atau FB, Instagram dan TikTok. -KOSMO! ONLINE