PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan Program Intervensi Literasi dan Numerasi bagi melatih murid Tahun 1 yang belum menguasai membaca, menulis dan mengira (3M) dengan baik.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program berkenaan akan bermula bagi sesi akademik 2024/2025 ini.
Beliau berkata, bagi tempoh tiga bulan pertama ini, guru akan membuat saringan dan pengesanan bagi mengenalpasti tahap penguasaan setiap murid berkenaan.
“Selepas tiga bulan, murid yang dikenalpasti belum menguasi 3M akan diasingkan dan diletakkan bawah program ini selama tiga bulan,” katanya pada sidang akhbar khas Intervensi Kurikulum di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya mahu melakukan intervensi awal murid berkenaan bagi memastikan mereka tidak berdepan masalah pembelajaran pada masa depan.
Fadhlina berkata, setiap murid mempunyai tahap penguasaan 3M berbeza selain ada murid yang tidak dapat menyambung suku dan membina ayat.
“Sebab itu, kita mahu laksanakan intervensi awal sesuai dengan aras dan tahap yang dimiliki murid berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE