fbpx

Penyelidik UM ajar pilih, cara kendali minyak masak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-kanak turut diberi pendedahan berkenaan pemilihan minyak masak.

MAKANAN merupakan salah satu faktor yang paling penting dalam memastikan kehidupan dan kesihatan manusia terus terjamin.

Ketersediaan 17 jenis minyak sayuran dan lemak haiwan di pasaran lebih menyulitkan keadaan dari segi pemilihan yang tepat, aplikasi dan pengendaliannya.

Menyedari keperluan tersebut, tiga penyelidik Universiti Malaya (UM) telah merealisasikan perkara tersebut menerusi projek penyelidikan OleoRangers@UM Living Lab.

Usaha pendedahan kepada komuniti berkenaan industri sawit yang menjadi penyumbang ekonomi utama Malaysia itu dilakukan oleh Dr. Noordini Mohamad Salleh, Prof. Madya Dr. Cheng Sit Foon dan Dr. Muhammad Aqmal Othman.

“OleoRangers@UM Living Lab telah ditubuhkan di bawah peruntukan penyelidikan yang disalurkan oleh Pusat Jalinan Masyarakat UM (UMCares) untuk memberi kesedaran tentang minyak masak dari pelbagai aspek.

“Ia juga bertujuan melahirkan komuniti yang berpengetahuan tinggi tentang apa yang mereka makan.

“Melalui soal selidik yang telah dijalankan, komuniti masih mempunyai ilmu begitu rendah berkaitan minyak masak yang lazimnya digunakan dalam penyediaan makanan harian,” kata Noordini kepada iGen.

Menurutnya, terdapat kekeliruan jelas dan amalan buruk dalam pemilihan, penggunaan serta pengendalian minyak masak.

Tambahnya, ia berlaku dengan pengaruh media sosial yang sering merendahkan kebaikan minyak sawit berbanding dengan minyak lain seperti minyak zaitun, minyak kacang soya, minyak canola dan minyak bunga matahari.

Justeru, penyelidik di UM baru-baru ini telah menganjurkan pameran Navigating Sustainability: The Palm Oil Map to a Greener Future! yang julung kali diadakan di Dataran Sains, UM, Kuala Lumpur.

SEBAHAGIAN pelajar yang menyertai pameran Navigating Sustainability: The Palm Oil Map to a Greener Future! di Dataran Sains, UM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pameran tersebut bertemakan Awareness Creation, Knowledge Enhancement and Optimum Utilisation of Cooking Oils turut mendapat sokongan padu daripada Malaysian Oil Scientists’ and Technologists’ Association (MOSTA), Malaysian Palm Oil Council (MPOC) dan Profes Lipid Sdn. Bhd.

Noordini yang merupakan ketua penyelidik berkata, program tersebut bertujuan memberikan kesedaran berkaitan pemilihan, penggunaan serta pengendalian minyak masak yang betul kepada komuniti.

“Program seperti ini nanti akhirnya akan menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang melibatkan SDG 12 – Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab; dan SDG3 – Kesihatan dan Kesejahteraan yang Baik.

“Seramai 280 pengunjung terdiri daripada staf akademik, staf bukan akademik dan pelajar siswazah serta pasca siswazah hadir ke pameran berkenaan.

“Mereka diberi peluang belajar secara dekat dengan melihat sampel pameran, poster menarik serta diberi penerangan terperinci oleh pasukan OleoRangers,” ujarnya.

Bagi menjadikan pameran tersebut lebih menarik, permainan bersifat interaktif turut disediakan.

Konsep pasport digunakan untuk pengunjung mendapatkan cop selepas berjaya melibatkan diri dalam aktiviti atau permainan di setiap gerai pameran yang berasaskan aktiviti industri huluan hinggalah hiliran.

MPOC dan Profes Lipid juga berganding bahu memberi pengetahuan serta kesedaran melalui pameran mereka.

Ganjaran istimewa berupa ‘totebag’ dengan lakaran eksklusif serta rantai kunci OleoRangers yang dibuat khas menggunakan cetakan tiga dimensi (3D) turut disediakan kepada pengunjung yang telah berjaya melengkapkan pasport mereka.

Sementara itu, Sit Foon yang merupakan Ketua Unit of Research on Lipids (URL) berhasrat untuk meneruskan lagi misi OleoRangers.

Ujarnya, pihaknya ingin menyalurkan maklumat dan pengetahuan mengenai industri minyak secara konsisten kepada komuniti.

“Diharapkan dengan penganjuran aktiviti seperti ini, matlamat untuk memberi kesedaran dan pengetahuan mengenai industri sawit serta minyak masak tercapai melalui penglibatan pengunjung secara langsung.

“Antara inti pati penting, sawit merupakan minyak masak yang paling stabil pada suhu tinggi.

“Ciri-ciri penting ini menjadikannya sebagai pilihan tepat untuk menggoreng makanan.

“Minyak masak lain seperti minyak soya, minyak bunga matahari, minyak canola dan minyak zaitun tidak mempunyai kestabilan pengoksidaan sebaik minyak sawit,” katanya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN