fbpx

Pentingkan diri sendiri punca ramai bercerai di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BADARUDDIN (empat dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada penceramah Ustaz Mohd. Elyas Ismail pada Seminar Keluarga Bahagia di Melaka.

MELAKA – Sikap mementingkan diri sendiri dan tiada kesefahaman dikesan menjadi antara faktor utama kes penceraian berlaku di negeri ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd. Kassim berkata, berdasarkan statistik sebanyak 959 pasangan telah bercerai pada tahun lalu dengan sebahagian besar disebabkan sikap mementingkan diri sendiri (ego).

“Memang jumlah itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya iaitu 1,036 kes, namun JAIM melihat antara punca utama perceraian ini berlaku adalah disebabkan mementingkan diri sendiri dan ketidaksefahaman.

“Jadi saya menyeru untuk pasangan suami isteri untuk terus memupuk sifat persefahaman antara ahli keluarga, sekali gus mengikis tabiat suka membesarkan perkara remeh yang boleh menimbulkan pertelingkahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di pada Majlis Perasmian Penutup Program Seminar Keluarga Bahagia (Membina Keluarga Ramadan) Tahun 1445H/2024M di Auditorium Al-Azim, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, susulan kes-kes penceraian yang berlaku, pihaknya menyeru pasangan suami isteri untuk mengaplikasikan tiga perkara dalam melayari rumah tangga.

Jelasnya, ia adalah sikap saling bermaafan antara satu sama lain, kerap mengucapkan terima kasih walau dalam perkara kecil dan menawarkan pertolongan antara satu sama lain.

“Usah tunggu hingga 1 Syawal baru nak minta maaf kerana tuntutan bermaafan itu dituntut sebagai seorang muslim.

“Ungkapan terima kasih pula memang mudah tetapi adakalanya sukar diungkap oleh pasangan dan akibatnya mereka lebih menghargai ucapan terima kasih daripada orang lain daripada pasangan sendiri,” ujarnya.

Badaruddin berkata, pasangan suami isteri diiingatkan untuk sentiasa cakna dan prihatin bagi memastikan keutuhan rumah tangga terus diperkasa. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI