PETALING JAYA – “Kena beri hukuman, kita kena keras, sikap tegas, kena ajar.”
Itu reaksi penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus (UAI) berhubung kes tular melibatkan sebuah kedai serbaneka yang didapati menjual stoking tertera kalimah Allah.
Tindakan tersebut telah mengundang kecaman dan kemarahan dalam kalangan orang ramai kerana secara terbuka menjual produk yang menyentuh sensitiviti orang Islam.
Menurut Ustaz Azhar, bukan hak manusia untuk sewenang-wenangnya memaafkan peniaga terbabit berkaitan kesalahan yang dilakukan itu kerana ia melibatkan penghinaan terhadap Allah S.W.T.
“Mana maaf, itu hak Allah, bukan hak kita. Lain la ambil hak kita, boleh la kita tukang maaf. Ada pula kamu tukang maaf, kamu siapa?.
“Orang hina Allah, kita pula yang tukang maaf, bolehkah kita wakil? Kamu wakil Allah kah?,” soalnya.
Tegasnya, sebagai balasan di dunia, pihak berkuasa perlu memainkan peranan dengan lebih serius dan mengenakan tindakan sewajarnya kepada peniaga tersebut tanpa sebarang pengecualian.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, isu kalimah Allah pada stoking adalah satu penghinaan dan ia juga tidak boleh dipandang remeh meskipun ada pihak yang menyatakan supaya tidak perlu terlalu sensitif dalam menanganinya.
Sebelum ini, pengurusan tertinggi kedai serbaneka terbabit tampil membuat permohonan maaf dan menyatakan kesal dengan insiden penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah Allah di salah sebuah cawangannya di Bandar Sunway seperti mana tular di media sosial.
Jelas pengasas dan juga pengerusi eksekutif kumpulan kedai serbaneka itu, beliau menyifatkan insiden tersebut sebagai sesuatu yang tidak dijangkakan oleh pihaknya. – KOSMO! ONLINE