KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih meneruskan pencarian kotak hitam helikopter jenis AW 139 miliknya yang terhempas di perairan Pulau Angsa, awal bulan ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd. Amin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca pendaratan cemas dilakukan helikopter tersebut.
Katanya, keempat-empat mangsa termasuk juruterbangnya telah memulakan tugas seperti biasa sejak minggu lalu.
“Memang kita cari kotak hitam itu. Apabila kita ready, kita akan dedah laporan ( kemalangan itu),” katanya pada sidang akhbar pelancaran Op Pagar Laut di atas Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan sebuah helikopter jenis AW 139 dengan nombor pendaftaran M72-01 itu terhempas ketika melakukan aktiviti latihan menyelamat di perairan Pulau Angsa, Klang.
Kadian kira-kira pukul 9.55 pagi, 5 Mac lalu turut tular di media sosial selepas dirakam pemancing.
Bagaimanapun, kesemua mangsa iaitu Leftenan Komander Maritim, Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria, Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I Maritim John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara Maritim Muhamad Nurhayyat Hashim dilaporkan selamat.
Helikopter itu kemudiannya dibawa naim kira-kira pukul 12.15 tengah malam hari sama sebelum dibawa ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) untuk tindakan selanjutnya. -KOSMO! ONLINE.