JAKARTA – Sebuah kereta dipandu pemandu mabuk kemik selepas melanggar penghadang jalan sebelum dirosakkan lebih teruk oleh orang ramai yang naik berang, lapor program berita Liputan6 kelmarin.
Dalam kejadian sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan) Sabtu lalu, pemandu Ford Ecosport tersebut pada awalnya melanggar penghadang jambatan di Jalan Raya Margonda, bandar Depok dalam wilayah Jawa Barat.
Lelaki itu dikatakan terhuyung-hayang dan berada di bawah pengaruh alkohol.
“Ketika pemandu melalui Jalan Raya Margonda, kereta dipandunya melanggar penghadang jambatan lalu kemik di sebelah hadapan kanan,” kata Pegawai Perhubungan Awam Polis Metro Depok, Inspektor Made Budi.
Tambah Made, pemandu berkenaan tetap meneruskan pemanduan meskipun diarah oleh pemandu-pemandu lain supaya memberhentikan kenderaannya.
“Sejumlah pemandu lain cuba mengarahkan dia menghentikan keretanya, namun dia panik kerana menyangkakan mereka mahu mengejarnya,” ujar Made.
Katanya lagi, sejurus tiba di Jalan Raya Sawangan, kenderaan tersebut tiba-tiba berhenti, menyebabkan orang ramai yang mengejar pemandu itu menyerbunya.
“Kereta itu terus diserbu orang ramai dan mereka merosakkannya,” jelas Made sambil menambah, pemandu tersebut diarah keluar dari kereta, namun enggan berbuat demikian.
“Sebenarnya, ini adalah kes kemalangan yang tidak melibatkan orang lain. Namun, disebabkan pemandu berada di bawah pengaruh alkohol dan memecut laju, ia menyebabkan orang ramai berang,” tambah Made.
Susulan kejadian itu, polis telah mengambil keterangan pemandu berkenaan dan beberapa saksi bagi membantu siasatan. – AGENSI