IPOH – Guru tidak dihalang untuk memuat naik kandungan media sosial selagi perkara yang dikongsikan itu memberikan pendidikan kepada anak-anak murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya juga telah menetapkan garis panduan tentang perkara itu dan meminta semua guru mematuhi ketetapan yang ada.
Katanya, beliau juga telah berulang kali menegaskan perkara tersebut untuk perhatian semua.
“Kita ada garis panduan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia dan kita minta semua guru untuk patuhi garis panduan tersebut kalau nak buat content (kandungan).
“Kita galakkan content ini dibuat dalam bentuk untuk memberikan pendidikan khususnya seperti membantu subjek-subjek untuk anak-anak murid dan juga kesedaran berkaitan dengan pendidikan.
“Jadi garis panduan ini mesti dipatuhi oleh semua guru,” katanya kepada pemberita pada program Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2024 Peringkat Negeri Perak di Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini hari ini.
Terdahulu, Program Jaulah Ramadan merupakan salah satu aktiviti Ihya Ramadan kementerian bagi tahun ini.
Di Perak, sebanyak tiga sekolah dikunjungi oleh menteri itu bersama-sama pengurusan tertinggi kementerian iaitu Sekolah Raja Perempuan Taayah, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah dan Sekolah Raja Permaisuri Bainun.
Kementerian dengan kerjasama Yayasan Didik Negara memberi sumbangan kepada murid asnaf di sekolah tersebut dengan seramai 150 orang murid yang terpilih mendapat sumbangan.- KOSMO! ONLINE